KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan tadahan tiga empangan utama negeri selama dua hari bermula hari ini, bagi meningkatkan potensi hujan susulan keadaan cuaca kering dan perubahan iklim tidak menentu.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata operasi itu melibatkan kawasan Empangan Batang Ai di Lubok Antu serta Empangan Bakun dan Murum di Belaga.
“OPA ini merupakan langkah intervensi cuaca bagi meningkatkan potensi pembentukan hujan di kawasan tadahan empangan utama, seterusnya menyokong kestabilan paras air empangan kritikal kepada penjanaan tenaga hidroelektrik, bekalan air mentah serta kelestarian sumber air di Sarawak.
“Antara objektif utama operasi ini adalah untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan sasaran, menyokong kestabilan paras air empangan strategik, mengurangkan risiko kekurangan bekalan air mentah, serta memperkukuh usaha mitigasi kesan cuaca kering dan fenomena El Nino/La Nina," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata OPA dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta beberapa agensi berkaitan.
Uggah berkata operasi itu dijalankan menggunakan pesawat pada altitud sekitar 5,000 hingga 9,000 kaki di kawasan awan berpotensi hujan dengan penyebaran bahan higroskopik seperti garam gred industri ke dalam sistem awan yang sesuai.
Beliau berkata pemantauan radar cuaca serta analisis atmosfera dijalankan secara berterusan sebelum, semasa dan selepas operasi bagi memastikan keberkesanan serta keselamatan pelaksanaan operasi berkenaan.
OPA lazimnya dilaksanakan berdasarkan keperluan dan penilaian teknikal tertentu termasuk ketika berlaku jerebu bagi membantu meningkatkan taburan hujan dan memperbaiki kualiti udara, atau apabila paras air empangan dan takungan utama berada pada tahap rendah.
-- BERNAMA