JAKARTA: Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn kekal optimis bahawa rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan antara ASEAN dan China dapat dimuktamadkan tahun ini seperti yang disasarkan.
Beliau berkata kedua-dua pihak kekal komited untuk menyelesaikan rundingan itu dalam tempoh tiga tahun yang dipersetujui pada 2023 semasa mesyuarat di Jakarta.
“Saya amat yakin dan optimis bahawa COC dapat dimuktamadkan dalam tahun ini.
“Kami pada asasnya mengadakan mesyuarat setiap bulan bagi meneruskan rundingan. Kami kini mengekalkan momentum itu dan sedang mencapai kemajuan yang konkrit,” katanya pada sidang media mengenai hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di sini pada Isnin.
Secara berasingan, Kao berkata ASEAN akan memperingati ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN (AMM) di Filipina pada Julai.
Beliau berkata kira-kira enam negara dijangka menyertai TAC semasa peringatan tersebut, sekali gus menambah kepada 58 pihak yang sedang memeterai perjanjian itu ketika ini.
-- BERNAMA