Syarikat pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, menerima jumlah tempahan memberangsangkan bagi model Saga, Persona dan Perdana baharu, kesemua yang dilancarkan pada separuh kedua 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Rohime Shafie berkata sejak dilancarkan pada 15 Jun, Proton Saga SV menerima 4,000 tempahan, menunjukkan kedudukan kukuh model itu sebagai pilihan utama pengguna bagi kenderaan sedan pembelian pertama.

"Setakat ini, kami telah menyerahkan 500 unit Proton Saga SV," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Pengukuhan Keusahawanan Pengedar dan Kecemerlangan Pembekal Automotif Institut Automotif Malaysia (MAI)-Proton di sini, pada Isnin.

Beliau berkata 720 unit model Perdana segmen D, daripada lebih 1,100 tempahan diterima, telah diserahkan kepada pelanggan sejak dilancarkan 14 Jun.

"Bagi generasi kedua Persona, kami menerima lebih 14,000 tempahan sejak dilancarkan 23 Ogos, dan kami telah menyerahkan 4,000 unit setakat ini," kata Rohime.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama MAI-Proton, Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata dua penggiat automotif itu akan terus bekerjasama dalam meningkatkan, antara lain, modal insan dan teknologi seperti yang digariskan dalam Dasar Automotif Negara 2014.

"Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada Proton dari segi mengekalkan kualiti mereka dan menawarkan kereta yang baik untuk pengguna," katanya. -- BERNAMA