KUALA LUMPUR: RHB Research menjangkakan pasaran ekuiti didagangkan dengan berhati-hati pada minggu akan datang berikutan ketidaktentuan politik selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di mana tiada satu parti politik memperoleh jumlah kerusi parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

RHB Research dalam nota penyelidikan pada Ahad berkata keputusan PRU15 telah menjejaskan pasaran dengan sentimen pelabur berkemungkinan kekal bersikap tunggu dan lihat apabila pasaran dibuka semula, ia bergantung kepada keupayaan kepimpinan, kualiti anggota Kabinet dan Parlimen.

"Parlimen tergantung adalah senario asas, prestasi pilihan raya yang kukuh Perikatan Nasional adalah satu kejutan dan kami menjangkakan risiko kawal selia akan meningkat lebih tinggi terutamanya untuk sektor perjudian, kilang bir dan tembakau.

"Pelabur dijangka akan kekal berhati-hati dengan saham berkaitan pembinaan memandangkan sektor itu bergantung kepada pelaksanaan dasar," tambahnya.

Firma penyelidikan itu berkata sekiranya ketidaktentuan kedudukan kepimpinan berlaku dalam tempoh lama atau dasar kerajaan baharu mengenai infrastruktur tidak menentuk, penjualan aset dalam indeks pembinaan Bursa Malaysia untuk mencerminkan ketidaktentuan politik.

"Kami menjangkakan pelabur memberi perhatian kepada asas dengan keutamaan untuk saham-saham bermodal besar yang tidak sejajar secara politik," katanya.

RHB Research berkata pelabur akan memberi perhatian kepada mana-mana gabungan yang akan membentuk kerajaan untuk melihat sama ada ia boleh menawarkan kestabilan politik dan kesinambungan dasar.

"Cabaran makroekonomi global pada tahun 2023 akan memerlukan pembentangan semula Bajet 2023 dengan segera, mewujudkan keutamaan ekonomi, inisiatif untuk merasionalisasikan subsidi dan cadangan untuk meluaskan asas cukai dan melaksanakan pembaharuan ekonomi.

"Kualiti anggota Kabinet dan anggota pentadbiran harus berwibawa supaya mendapat keyakinan dan kepercayaan komuniti perniagaan dan memberi keyakinan kedua-dua pelabur asing dan tempatan.

"Selain itu, langkah untuk menyatukan negara, memandangkan perpecahan politik yang semakin ketara," katanya.

Badan penyelidikan itu juga menyatakan bahawa risiko kecenderungan kerajaan untuk terus melaksanakan dasar populis daripada membuat keputusan sukar yang perlu diambil memandangkan kepentingan jangka panjang negara akan bergantung kepada saiz majoriti ahli parlimen kerajaan.

-- BERNAMA