GEORGE TOWN: Penubuhan Pusat Kewangan Teknologi Pulau Pinang (PTFC) dijangka membuka peluang kepada negeri itu untuk menarik lebih banyak dana dan pelaburan baharu, selain memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula teknologi.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif itu berpotensi memberi limpahan ekonomi bukan sahaja kepada syarikat dalam sektor teknologi, malah institusi pengajian tinggi yang menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Tujuan PTFC ditubuhkan juga adalah bagi memperkukuh ekosistem kewangan dan pelaburan yang lebih bersepadu untuk memudah cara aliran modal, perkhidmatan kewangan serta penyelesaian pembiayaan inovatif untuk menyokong pembangunan sektor teknologi di Pulau Pinang, wilayah utara dan negara, kata Chow.
"Apabila ada akses kepada modal dan sokongan pembiayaan, kita bukan sahaja mahu melihat R&D dilaksanakan, tetapi juga memastikan hasil penyelidikan itu dapat dikomersialkan menjadi projek dan produk teknologi," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Gooi Hsiao-Leung (PH-Bukit Tengah) mengenai jangkaan manfaat penubuhan PTFC kepada negeri dan negara.
Chow berkata pengiktirafan Pulau Pinang sebagai pusat kewangan teknologi negara dalam Belanjawan 2027 merupakan perkembangan yang membolehkan inisiatif berkenaan memainkan peranan lebih besar dalam menyokong agenda pembangunan teknologi negara.
Beliau berkata PTFC juga berpotensi menyokong pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), khususnya dalam mempercepat pengkomersialan teknologi serta pertumbuhan industri bernilai tinggi seperti semikonduktor dan pembuatan termaju.
Menurutnya, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) atau AI supercycle serta perubahan geopolitik global turut membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan keupayaan masing-masing.
PTFC juga berpotensi menyokong pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), khususnya dalam mempercepat pengkomersialan teknologi serta pertumbuhan industri bernilai tinggi seperti semikonduktor dan pembuatan termaju, katanya.
Beliau berkata sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan (MOF) akan dipergiat selepas Belanjawan diluluskan, termasuk usaha menubuhkan jawatankuasa bersama kerajaan negeri dan Persekutuan bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Pada pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Pulau Pinang sebagai Pusat Kewangan Teknologi Negara.
Susulan pengumuman itu, Anwar menjelaskan Khazanah Nasional Bhd dan Invest Penang akan mewujudkan dana RM100 juta bagi membantu syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju pada peringkat awal pertumbuhan.
-- BERNAMA