Skip to main content

Bisnes

Pulau Pinang lantik PwC perunding tubuh Pusat Kewangan Antarabangsa

GEORGE TOWN, 19 Mac — Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, telah mengemukakan senarai nama calon Yang Dipertua Negeri yang baharu kepada Pejabat Perdana Menteri setelah mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.  Tempoh pelantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, yang bermula pada 1 Mei 2021, akan tamat pada 30 April tahun ini.  —fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Advertisement

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang melantik PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd (PwC) sebagai perunding bagi menyediakan kertas putih, rangka kerja strategik (blueprint) dan pelan tindakan untuk Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas PIFC bersetuju melantik PwC dengan surat pelantikan diserahkan pada 15 Jun dan syarikat itu telah mengembalikan Surat Setuju Terima (SST) sebagai persetujuan terhadap semua terma serta syarat pelantikan.

“Menerusi lantikan itu, PwC diberi tempoh keseluruhan 20 minggu untuk menyiapkan tiga dokumen utama yang bakal menjadi asas penubuhan dan pembangunan PIFC, iaitu kertas putih PIFC yang memperincikan rasional strategik, rangka kerja kawal selia serta menentukan hala tuju ke arah penubuhan PIFC.

“Seterusnya rangka kerja strategik yang merangkumi struktur tadbir urus, kesediaan institusi, keperluan infrastruktur dan insentif serta struktur tumpuan perkhidmatan kewangan yang akan membentuk PIFC.

“Dokumen ketiga ialah pelan tindakan PIFC yang bakal memperinci pelaksanaan secara berperingkat, termasuk tindakan tanggungjawab, petunjuk prestasi utama (KPI) serta struktur akauntabiliti bagi mengoperasikan PIFC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kon Yeow berkata dalam mesyuarat 17 Julai, PwC telah membentangkan laporan kemajuan penyediaan kertas putih untuk semakan pihak jawatankuasa dan berdasarkan dapatan awal daripada kajian serta pembentangan itu, rasional utama penubuhan PIFC dijajar selaras dengan teras ekonomi Pulau Pinang, iaitu rantaian elektrik dan elektronik (E&E) global.

Beliau berkata kelebihan itu secara tidak langsung akan membuka peluang kepada Pulau Pinang untuk terus memacu inovasi dalam industri berkaitan sekali gus menyuntik impak kepada pertumbuhan ekonomi negeri secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bagi memastikan pembangunan PIFC tersusun dan telus, PwC dimohon mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk rakan strategik, pemain industri tempatan serta antarabangsa, pihak berkuasa kawal selia, ahli akademik dan semua pemegang taruh berkaitan. 

Ia bagi memastikan cadangan yang dibangunkan bersifat menyeluruh, berdaya laksana serta selaras dengan strategi pembangunan ekosistem teknologi negara.

“Kerajaan negeri menghargai komitmen semua ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas PIFC, rakan strategik dan mereka yang terus memberikan kerjasama serta sokongan dalam memastikan semua rangka kerja dasar PIFC dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Kon Yeow berkata kerajaan negeri yakin usaha itu akan menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem kewangan berteraskan teknologi bagi membolehkan industri Wilayah Utara lebih inovatif, berdaya saing dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang serta melonjakkan ekonomi negara pada masa depan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement