ISTANBUL: Pemimpin Agung Iran Mojtaba Khamenei, pada Sabtu berkata Tehran akan menentukan "masa dan syarat" bagi menamatkan konflik sekiranya "musuh melancarkan semula serangan", lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Jika musuh sekali lagi melancarkan serangan ketenteraan atau pengganas, angkatan tentera Republik Islam Iran dan rakyat Iran yang akan menentukan masa dan syarat bagi menamatkannya," kata Khamenei dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh penyiar milik kerajaan, IRIB.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Khamenei mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan tentera, menurut penyiar berkenaan.
Pemimpin Agung Iran itu mengarahkan komander kanan supaya memberikan "tindak balas segera dan berkesan, tanpa sekatan geografi terhadap sebarang kemungkinan ancaman musuh", menurut kenyataan itu.
Beliau turut mengarahkan supaya senarai sasaran dikemas kini bagi memastikan semua aset Amerika Syarikat (AS) dan Israel berada "dalam jangkauan angkatan tentera" Iran, menurut kenyataan itu.
Kenyataan Mojtaba Khamenei itu menyusuli kenyataan jurucakap tentera Iran Mohammad Akraminia, pada awal Sabtu bahawa perang yang tercetus semula akan "merebak ke kawasan yang jauh lebih luas" sekiranya Presiden AS Donald Trump "mengulangi tindakan mencetuskan ketegangan di rantau ini" bersama Israel.
Ketegangan di Asia Barat kekal tinggi sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindakan balas Iran di rantau itu.
Meskipun usaha diplomatik susulan dilakukan dan satu memorandum ditandatangani Washington serta Tehran pada Jun, ketegangan terus berlarutan berhubung aturan keselamatan dan pelayaran melalui Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU