Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Gen Z tak peduli politik, atau politik tak peduli Gen Z? – Kerk

KERK: Kadangkala penyelesaian yang ditawarkan agak cetek, mungkin sekadar menghasilkan video mengikut trend 6-7 dan sebagainya; saya rasa itu satu permulaan yang baik, tetapi apa langkah seterusnya? - Foto Astro AWANI
KERK: Kadangkala penyelesaian yang ditawarkan agak cetek, mungkin sekadar menghasilkan video mengikut trend 6-7 dan sebagainya; saya rasa itu satu permulaan yang baik, tetapi apa langkah seterusnya? - Foto Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

AYER KEROH: Benarkah generasi muda semakin tidak berminat dengan politik, atau sebenarnya ahli politik yang gagal memahami perkara yang menjadi kebimbangan mereka?

Persoalan itu dibangkitkan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee yang berpandangan pendekatan politik terhadap Generasi Z (Gen Z) perlu dinilai semula, khususnya dalam memahami cabaran kehidupan anak muda.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) itu, menghasilkan kandungan mengikut trend media sosial semata-mata belum cukup untuk mendekati generasi muda sekiranya isu yang menentukan masa depan mereka terus diketepikan.

Advertisement

“Kadangkala penyelesaian yang ditawarkan agak cetek, mungkin sekadar menghasilkan video mengikut trend 6-7 dan sebagainya. Saya rasa itu satu permulaan yang baik, tetapi apa langkah seterusnya? 

"Setiap generasi mempunyai isu dan kebimbangan tersendiri yang perlu diberi perhatian.” katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Advertisement

Calon DAP itu berpandangan antara kebimbangan yang perlu diberi perhatian ialah perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi mengubah landskap pekerjaan serta peluang kerjaya generasi baharu.

Menurutnya, perubahan teknologi itu akan memberi kesan kepada masa depan anak muda, termasuk persediaan mereka untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Beliau turut mengambil contoh sukan elektronik atau e-sukan yang tidak seharusnya dilihat sekadar penganjuran pertandingan sehari dengan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Sebaliknya, bidang itu perlu diberikan perhatian sebagai sebuah industri yang berpotensi membuka peluang pembangunan bakat, pekerjaan dan ekonomi kepada golongan muda.

Bagi Kerk, persoalan lebih besar bukan sekadar bagaimana ahli politik mahu menarik perhatian Gen Z, tetapi sejauh mana agenda politik benar-benar mengambil kira kepentingan dan masa depan mereka.

“Kalau ahli politik mengambil berat tentang isu anak muda, saya percaya mereka juga akan lebih mengambil berat tentang politik. Persoalannya, adakah politik kita hari ini relevan dengan anak muda?” soal Kerk.

Kerk mula bergelar wakil rakyat pada usia 25 tahun selepas memenangi kerusi Ayer Keroh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Sukan Melaka sebelum pernah berkhidmat sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka.

Kini berusia 34 tahun, Kerk kembali mempertahankan kerusi Ayer Keroh buat kali ketiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pada PRN kali ini, beliau berdepan pertandingan empat penjuru menentang Muhammad Muhaimin Lau Abdullah atau Alan Lau daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Michael Gan Peng Lam daripada Perikatan Nasional (PN) dan Mohd Hamnaim Mohamad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Must Watch Video

Advertisement