TELOK MAS: Hubungan kekeluargaan yang terjalin bersama penduduk setempat sepanjang lima tahun berkhidmat menjadi antara sandaran penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Lebih dikenali dengan gelaran Tok Ajak, Abdul Razak berkata hubungannya dengan masyarakat di kawasan itu tidak terhad kepada hubungan antara wakil rakyat dan pengundi, sebaliknya dibina menerusi silaturahim serta pendekatan mesra yang diamalkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Menurutnya, hubungan itu diteruskan menerusi pelbagai aktiviti bersama penduduk, termasuk pertemuan santai dan program kemasyarakatan, tanpa hanya tertumpu ketika musim pilihan raya.
“Hubungan saya dengan masyarakat DUN Telok Mas ini bukan kerana wakil rakyat dengan pengundi, sebaliknya kami mengamalkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan. Inilah keluarga besar saya kerana kami satu keluarga dan begitu akrab sekali.
“Kempen ini bukan hanya menyantuni pengundi, tetapi bagaimana kita menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Saya sudah berkempen selama lima tahun di sini menerusi pelbagai program, menyantuni lapisan masyarakat daripada anak kecil hingga dewasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan program minum petang bersama penduduk di Warong Ima Dikobor Cina, pada Sabtu.
Mengulas gelaran Tok Ajak, Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka berkata panggilan itu diberikan penduduk setempat berikutan keakraban hubungannya dengan masyarakat merentasi pelbagai peringkat umur, khususnya golongan muda.
Dalam pada itu, beliau berkata hampir keseluruhan 10 perkara yang terkandung dalam ‘10 Janji Razak’ yang ditawarkan ketika PRN 2021 telah dilaksanakan, selain memberi bayangan beberapa tawaran baharu akan diumumkan pada minggu kedua kempen.
“Pada 2021, ketika saya menawarkan diri sebagai calon di sini, saya telah mengemukakan 10 Janji Razak dan alhamdulillah kesemua 10 perkara itu sudah dilaksanakan.
“Perkara yang baik akan kita teruskan dan insya-Allah akan ada perkara baik yang diumumkan pada minggu kedua, khusus untuk rakyat dan penduduk DUN Telok Mas,” katanya.
Pada PRN kali ini, kerusi N.23 Telok Mas menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Abdul Razak mewakili Barisan Nasional (BN), Kapten (B) Mohamad Jaafar daripada Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Hazwan Mustafa daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Pada PRN Melaka 2021, Abdul Razak memenangi kerusi itu dengan memperoleh 6,052 undi dalam pertandingan empat penjuru, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Hari pengundian awal ditetapkan pada 10 November, manakala pengundian biasa berlangsung pada 14 November ini.