KUALA LUMPUR: Pembangunan pusat data pertama Google di Taman Perniagaan Elmina disertai komitmen untuk menggantikan semula 120 peratus daripada jumlah air yang digunakan menerusi pelbagai projek pengisian semula sumber air menjelang 2030.
Menurut Prinsipal Infrastruktur Global Google Asia Pasifik, Ken Siah, setiap air yang digunakan dalam operasi pusat data akan dikembalikan ke kawasan tadahan air tempatan menerusi projek pemuliharaan dan pemulihan sumber air, termasuk tambahan 20 peratus daripada jumlah yang digunakan.
Di Malaysia, katanya, projek pengisian semula sumber air telah dimulakan lebih awal melalui kerjasama dengan Global Environment Centre (GEC) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Tasik Taman Aman, walaupun pusat data berkenaan masih belum memulakan operasi.
Beliau berkata pembangunan pusat data juga berpandukan rangka kerja yang dibangunkan hasil pengalaman lebih dua dekad mengendalikan kemudahan itu di seluruh dunia.
Ken berkata demikian ketika ditemu bual Astro AWANI dalam program Niaga Spotlight bersama Tehmina Kaoosji hari ini.
Menurutnya, sebelum sesuatu pelaburan diluluskan, penilaian risiko air akan dijalankan menggunakan data sejarah sehingga 50 hingga 100 tahun melibatkan paras air, taburan hujan dan risiko kemarau, selain membuat unjuran beberapa dekad akan datang bagi menilai kesan terhadap komuniti setempat.
Ken turut menjelaskan penggunaan air sebagai medium penyejukan pusat data dipilih kerana ia lebih cekap dari segi penggunaan tenaga berbanding penyejukan udara.
"Mengapa menggunakan air? Ini kerana kaedah tersebut menggunakan tenaga yang jauh lebih rendah berbanding penyejukan udara. Jika kami menggunakan penyejukan udara, penggunaan tenaga lazimnya meningkat kira-kira 10 peratus berbanding penyejukan menggunakan air.
"Bagaimanapun, jika penilaian risiko air mendapati penggunaan air bukan kaedah penyejukan yang sesuai atau bertanggungjawab di sesuatu lokasi, kami tidak akan menggunakannya.
"Sebaliknya, kami akan mempertimbangkan kaedah lain seperti penyejukan udara atau teknologi penyejukan cecair yang lebih maju," katanya.
Beliau menambah, prinsip utama pembangunan pusat data adalah melaksanakan projek secara bertanggungjawab menerusi libat urus bersama komuniti setempat serta memahami keadaan alam sekitar sebelum menentukan teknologi yang paling sesuai digunakan.