Pekerja perlu merancang persaraan mereka seawal usia 20 tahun, kata Pengarah Urusan Kumpulan VKA Wealth Planners Sdn Bhd Javern CH Lim.

Beliau berkata kebanyakan pekerja menghadapi kesukaran sukar untuk mengekalkan kehidupan yang selesa selepas persaraan kerana gagal merancang pendapatan mereka untuk mencapai matlamat persaraan mereka.

"Pekerja perlu membelanjakan kurang daripada apa yang mereka peroleh, walaupun ia kedengaran mudah, ramai orang gagal berbuat demikian.

"Kita hanya perlu membelanjakan 60 peratus daripada pendapatan kita dan mengetepikan bakinya bagi simpanan dan pelaburan," katanya semasa pembentangan pada pameran mengenai skim persaraan swasta (PRS) anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini.

Pameran itu bagi memberi peluang kepada individu menemui penyedia PRS dan mendapatkan gambaran mengenai pelbagai skim yang ditawarkan.

PRS adalah skim pelaburan jangka panjang sukarela yang direka untuk membantu individu menambah simpanan untuk persaraan.

Lim berkata daripada 13 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, hanya 7.37 peratus mempunyai baki simpanan lebih daripada RM150,000 pada umur persaraan 55 tahun manakala 21.74 peratus hanya mempunyai RM50,000 hingga RM150,000 dan 70.89 peratus dengan kurang daripada RM50,000 dan menekankan keperluan penting bagi pekerja memilih pelan yang sesuai untuk pelan persaraan mereka.

VKA Wealth Planners Sdn Bhd adalah syarikat perancangan kewangan yang dilesenkan oleh SC dan Bank Negara, yang menawarkan pelbagai perkhidmatan perancangan kewangan peribadi dan korporat.