JOHOR BAHRU: Ranhill SAJ bekerjasama dengan Ryt Bank bagi memperluas penggunaan pembayaran digital untuk perkhidmatan utiliti harian di Johor, sekali gus memudahkan rakyat mengurus bil air dengan lebih cekap dan selamat.
Inisiatif itu turut menawarkan ganjaran pulangan tunai melalui sistem pembayaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), selaras usaha mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi digital dalam kalangan isi rumah.
Advertisement
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Mohd Hedzir Hanafi berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui inovasi perkhidmatan.
“Selain membekalkan air terawat yang bersih dan selamat, kami komited untuk memperbaiki kehidupan harian komuniti di Johor.
“Kerjasama ini membolehkan kami menawarkan penjimatan yang lebih bermakna kepada isi rumah di seluruh negeri, di samping menggalakkan penggunaan digital melalui aplikasi Ranhill SAJ.
“Langkah ini turut mengukuhkan operasi kami melalui proses pendigitalan yang lebih baik,” katanya.
Bermula 27 April 2026, pengguna di Johor yang mengaktifkan akaun Ryt Bank dan membuat pembayaran bil air minimum RM10.50 layak menerima pulangan tunai sehingga RM6 bagi transaksi yang memenuhi syarat dalam tempoh dua bulan berasingan.
Transaksi layak termasuk pembayaran melalui ciri Snap & Pay (JomPAY) Ryt AI, penggunaan kad tanpa tunai Ryt serta pembayaran di kaunter Ranhill SAJ.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata, kerjasama tersebut sejajar dengan aspirasi bank untuk menjadikan perbankan lebih praktikal dan relevan dalam kehidupan seharian rakyat.
“Di Ryt Bank, kami percaya perbankan perlu disepadukan dengan kehidupan harian. Dengan mengintegrasikan pembayaran berasaskan AI yang intuitif ke dalam perkhidmatan penting seperti bil air, kami bukan sahaja memudahkan pembayaran, malah membantu pelanggan menikmati penjimatan sebenar melalui ciri seperti pulangan tunai dan pilihan pembayaran yang fleksibel.
“Kerjasama dengan Ranhill SAJ merupakan satu langkah ke arah menjadikan perbankan digital lebih relevan, intuitif dan mudah diakses oleh isi rumah di seluruh Johor,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ryt Bank turut memperkenalkan ciri Ryt PayLater pada kad Ryt yang membolehkan pengguna memilih kaedah pembayaran sama ada debit atau “beli sekarang, bayar kemudian” (BNPL) bagi mengurus perbelanjaan harian.
Langkah itu memberi fleksibiliti kewangan kepada pengguna di samping menggalakkan penggunaan pembayaran digital secara lebih meluas dalam kalangan masyarakat.