Ringkasan AI
- Pakatan Harapan (PH) mengakui cabaran lebih besar mempertahankan kerusi PRN Melaka susulan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
- Anthony Loke menyatakan PH akan fokus mempertahankan empat kerusi penyandang, termasuk Kota Laksamana, Bandar Hilir, Kesidang dan Ayer Keroh.
- PH akan meneruskan kempen positif dengan mengetengahkan pencapaian kerajaan untuk meraih keyakinan pengundi walaupun berdepan persaingan sengit.
KOTA MELAKA: Pakatan Harapan (PH) mengakui berdepan cabaran lebih besar dalam mempertahankan kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, penyatuan kekuatan kedua-dua gabungan itu, termasuk sokongan penyokong tradisi masing-masing, memberi kelebihan kepada calon yang bertanding.
Menurutnya, keadaan itu menjadi cabaran kepada PH memandangkan BN dan PN tidak bertembung sesama sendiri di kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.
“Memang satu cabaran apabila mereka menggabungkan kekuatan masing-masing kerana kedua-duanya mempunyai sokongan tradisi dan kawasan penyandang tersendiri.
“Apabila mereka tidak bertanding antara satu sama lain dan meminta penyokong masing-masing memberikan sokongan kepada calon mereka, sudah tentu ia menjadi satu kekuatan yang memberi cabaran kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam HARAPAN di Sekolah Tinggi Pay Fong, pada Khamis.
Bagaimanapun, Loke berkata PH akan terus memberikan tumpuan kepada usaha mempertahankan empat kerusi penyandang, iaitu tiga kerusi di bawah Parlimen Kota Melaka dan satu lagi di DUN Ayer Keroh.
Katanya, DAP turut meletakkan sasaran untuk mempertahankan kerusi Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Kesidang yang disifatkan sebagai kawasan tradisi parti itu.
“Kita akan berusaha mempertahankan kerusi-kerusi yang kita menangi sebelum ini, termasuk Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Kesidang,” katanya.
Tambah Loke, PH akan meneruskan kempen secara positif dengan mengetengahkan pencapaian Kerajaan Persekutuan pimpinan gabungan itu bagi meraih keyakinan pengundi.
Beliau berkata, walaupun menyedari cabaran yang bakal dihadapi, parti itu akan terus berusaha mendapatkan sokongan rakyat dan mempertahankan kerusi yang disandang.
Pada PRN Melaka kali ini Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 24 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon.
Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pula meletakkan 16 calon, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bertanding di tujuh kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan lima calon.