REHDA gesa pengeluar dan pengilang kawal kos bahan binaan, elak jejas harga hartanah

Pengeluar atau pengilang tempatan perlu sentiasa berwaspada agar kos kekal di bawah kawalan, kata Ho Hon Sang. - Gambar fail
PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menggesa pengeluar dan pengilang tempatan agar terus berwaspada terhadap peningkatan kos bahan binaan, yang boleh menjejaskan kemampuan harga hartanah.
Presiden REHDA Malaysia Datuk Ho Hon Sang berkata adalah penting untuk mengawal kos bahan, sambil menyatakan bahawa kebanyakan bekalan diperoleh daripada pengilang dan pengeluar tempatan.
"Kebanyakan bahan yang digunakan untuk projek yang mudah diperoleh daripada sumber tempatan, tetapi semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa terdapat peningkatan dalam kos bahan, yang akan menjejaskan kemampuan produk akhir (hartanah).
"Oleh itu, pengeluar atau pengilang tempatan perlu sentiasa berwaspada agar kos kekal di bawah kawalan.
"Kami tidak mahu kos operasi yang tinggi menjejaskan harga jualan akhir kepada pengeluar," katanya kepada media selepas majlis pra-pelancaran Siri CEO Institut REHDA 2026, di sini hari ini.
Menurut Hon, kos pembinaan dijangka meningkat kira-kira dua hingga tiga peratus tahun ini, dengan anggaran separuh daripada peningkatan itu berkemungkinan ditunjukkan dalam harga jualan.
"Bagaimanapun, sebarang pelarasan harga akan bergantung kepada pemaju secara individu, model perniagaan mereka dan kekuatan strategi jualan serta pemasaran masing-masing.
"Sesetengah pemaju mungkin memilih untuk menyerap sebahagian daripada kenaikan itu, manakala yang lain mungkin memilih menaikkan harga sedikit, bergantung kepada jenis hartanah yang mereka tawarkan," tambahnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melonggarkan syarat import jika diperlukan, bagi memastikan kos bahan binaan kekal rendah dan tidak membebankan orang ramai.
Menurut Anwar, langkah itu akan dipertimbangkan sekiranya kenaikan harga oleh pemain industri terus memberi tekanan kepada kos pembangunan dan kos sara hidup.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


