SIBU: Polis menyambut baik langkah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memasang kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) pertama di Lebuh Raya Pan Borneo, yang ditempatkan di pusingan-P Selangau dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata pemasangan CCTV AI itu tepat pada masanya, khususnya menjelang peningkatan pergerakan trafik sempena cuti Aidilfitri dan cuti sekolah akan datang.
Advertisement
Beliau berkata lokasi berkenaan berada di bawah bidang kuasa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dan antara kawasan yang kerap mencatatkan kemalangan jalan raya.
“Pemasangan ini diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya kerana setiap pergerakan akan dipantau, terutama bagi kesalahan seperti melawan arus.
“Sebarang kesalahan yang dikesan dan dirakam akan disalurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Mukah untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.
Sementara itu, Pengarah JKR Sarawak Datuk Dr Cassidy Morris menerusi hantaran di Facebook rasmi jabatan itu berkata pemasangan CCTV AI pertama di Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sebagai langkah proaktif bagi memperkukuh aspek keselamatan serta pemantauan kebersihan persekitaran awam.
Cassidy berkata inisiatif itu selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak ke arah bandar pintar dan semua pihak diseru memanfaatkan kemudahan berkenaan secara optimum.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan demi kesejahteraan bersama.
Menurut Cassidy, pelaksanaan sistem itu dijangka dapat memantau pergerakan trafik dengan lebih berkesan, sekali gus menyokong usaha pencegahan kemalangan dan penambahbaikan pengurusan lalu lintas di kawasan Selangau serta Bahagian Sibu.
Dalam pada itu, Muhamad Rizal berkata pihak polis akan terus menjalankan rondaan dan aktiviti penguatkuasaan seperti biasa di kawasan berkenaan walaupun CCTV AI telah dipasang.
-- BERNAMA