KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS pada Selasa apabila peserta pasaran dijangka memberi tumpuan terhadap rundingan gencatan senjata dua minggu antara Amerika Syarikat dan Iran yang dijadual berakhir pada Rabu.
Pada 8.26 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 3.9450/9505 berbanding dolar AS berbanding 3.9515/9555 ketika ditutup semalam.
Advertisement
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata terdapat petunjuk bahawa Iran akan menyertai rundingan berkenaan.
“Berdasarkan harga minyak mentah WTI dan Brent yang kini masing-masing berada sekitar AS$88.19 setong dan US$95.48 setong, kalangan peniaga dan pelabur berharap persetujuan dapat dicapai serta gencatan senjata dilanjutkan bagi memberi ruang kepada rundingan diteruskan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, beliau berkata data terkini menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada suku pertama 2026, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.3 peratus, manakala eksport nominal meningkat 12.7 peratus berbanding 11.0 peratus pada suku sebelumnya.
“Bagaimanapun, aktiviti ekonomi pada suku kedua 2026 dijangka terjejas ekoran harga bahan api yang tinggi, dengan sesetengah perniagaan berkemungkinan memindahkan kos kepada pengguna akhir.
“Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal diniagakan dalam julat sempit memandangkan peniaga dan pelabur akan terus memantau perkembangan rundingan di Asia Barat. Berkemungkinan kadar pertukaran USD/MYR berada sekitar RM3.95 hingga RM3.96 hari ini,” katanya.
Pada pembukaan, ringgit juga diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3356/3431 daripada 5.3412/3466 ketika ditutup semalam, meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.6480/6545 daripada 4.6489/6536, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4819/4855 daripada 2.4863/4890.
Mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding rakan serantau ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1053/1101 daripada 3.1077/1111 semalam, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.3204/3438 daripada 12.3127/3313, naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 229.7/230.2 daripada 230.1/230.5, serta meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.57/6.59 daripada 6.58/6.60.
-- BERNAMA