Skip to main content

Malaysia

JustGO rekod lebih 90,000 pengguna aktif sejak dilancar pada Januari

Sisten JustGO merekodkan 3.27 juta kenderaan menggunakan kaedah pembayaran tersebut di 93 plaza tol yang melibatkan 966 lorong bagi tempoh sama. - Gambar fail/JustGO
Sisten JustGO merekodkan 3.27 juta kenderaan menggunakan kaedah pembayaran tersebut di 93 plaza tol yang melibatkan 966 lorong bagi tempoh sama. - Gambar fail/JustGO

Advertisement

Ringkasan AI

  • Sistem pembayaran tol digital JustGO berasaskan ANPR merekodkan lebih 90,000 pengguna aktif dan 3.27 juta kenderaan sejak Januari hingga semalam.
  • PLUS Malaysia Berhad dan PNB Prolintas melaksanakan projek rintis dan ujian konsep pembayaran tol ANPR di beberapa lebuh raya utama negara.
  • Delegasi Malaysia mengadakan lawatan teknikal ke Korea Selatan untuk meneliti pelaksanaan MLFF dan teknologi pengurusan keselamatan terowong.

KUALA LUMPUR: Sistem pembayaran tol digital berasaskan Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR), JustGO merekodkan lebih 90,000 pengguna aktif sejak dilancarkan pada Januari hingga semalam, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata sistem itu juga merekodkan 3.27 juta kenderaan menggunakan kaedah pembayaran tersebut di 93 plaza tol yang melibatkan 966 lorong bagi tempoh sama.

Nanta berkata kaedah pembayaran tol berasaskan ANPR menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan menuju pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di negara ini.

“MLFF bukan sekadar menghapuskan palang tol. Ketepatan teknologi, integrasi antara syarikat konsesi, keselamatan data dan kemudahan pembayaran pengguna mesti diberikan perhatian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nanta berkata JustGO dikendalikan PLUS Malaysia Berhad, antara syarikat konsesi lebuh raya yang memulakan kaedah pembayaran tol secara ANPR, dengan projek rintis dilaksanakan di jajaran Hutan Kampung-Sungai Dua pada Januari lepas.

Selain PLUS, syarikat PNB Prolintas turut melaksanakan ujian konsep di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) bersama-sama Touch ‘n Go (TNG) dan CIMB, dengan projek rintis menggunakan teknologi ANPR serta RFID dilaksanakan bermula November 2024, kata Nanta.

Beliau berkata lebih 11.3 juta kenderaan pelbagai kelas di LKSA direkodkan mengguna pakai sistem pembayaran tol itu yang mencatat kadar pengesanan 99.98 peratus.

“Ini satu perkembangan penting dalam menguji teknologi pembayaran tol yang lebih fleksibel, sebagai langkah menuju pelaksanaan MLFF tanpa palang pada masa hadapan,” katanya.

Isnin lepas, Nanta berkata pelaksanaan MLFF ketika ini menumpukan kepada persediaan teknikal, operasi dan kerangka undang-undang sebelum dikemukakan untuk pertimbangan serta kelulusan muktamad kerajaan.

Beliau berkata kerajaan memberikan ruang kepada syarikat konsesi dan rakan industri memperhalusi model secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) di bawah kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Dalam pada itu, Nanta berkata kementeriannya bersama-sama agensi dan pemain industri mengadakan lawatan teknikal ke persimpangan Gangneung di Lebuhraya Donghae, Korea Selatan semalam bagi memahami pendekatan negara itu berkaitan pelaksanaan MLFF.

Beliau berkata delegasi Malaysia diberi taklimat daripada Korea Expressway Corporation (KEC) mengenai konfigurasi dan teknologi sistem tol pintar negara itu, termasuk pengecaman nombor pendaftaran kenderaan, integrasi pembayaran elektronik serta pengurusan trafik tanpa palang tol.

Nanta menyatakan delegasi Malaysia turut melawat Terowong Inje-Yangyang, terowong jalan raya 11 kilometer yang terpanjang di Korea Selatan, bagi meneliti aspek reka bentuk infrastruktur, sistem pemantauan pintar dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

Beliau berkata penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) serta teknologi pengesanan insiden membolehkan kemalangan, kenderaan berhenti atau pergerakan yang membahayakan pengguna dikenal pasti lebih awal.

“Kemudahan perlindungan kebakaran, laluan kecemasan dan prosedur tindak balas pula menjadi komponen penting dalam pengurusan keselamatan terowong.

“Kita akan terus meneliti pengalaman serta teknologi negara lain dan menilai pendekatan yang paling sesuai dengan keperluan, struktur industri lebuh raya dan kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement