Ringgit menongkah arus daripada momentum meningkat minggu lepas untuk dibuka rendah pada pagi ini berikutan kekukuhan dolar AS, kata seorang peniaga.

Pada 9.01 pagi, ringgit berada pada 3.9960/4.000 berbanding dolar AS daripada paras penutup 3.9835/9875 pada Khamis minggu lepas.

Dolar AS melonjak hampir ke paras tertingginya dalam tempoh tujuh bulan selepas petunjuk yang membayangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan menaikkan lagi kadar faedahnya, dengan dua lagi kenaikan dijangkakan sebelum akhir tahun.

Selepas mesyuaratnya pada Rabu, Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus bagi kali kedua tahun ini kepada antara 1.75 dan dua peratus.

Menurut peniaga itu, penyertaan lemah dalam pasaran tempatan disebabkan oleh ramai peniaga masih lagi bercuti sempena Hari Raya, yang mana turut menyumbang kepada prestasi kurang memberangsangkan pasaran.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9550/9586 daripada 2.9861/9896 pada Khamis minggu lepas dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6143/6189 daripada 3.6230/6270.

Ringgit mengukuh berbanding pound British kepada 5.2991/3064 daripada 5.3506/3576 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6270/6320 daripada 4.7097/7160.

Pasaran ditutup pada Jumaat minggu lepas sempena cuti Hari Raya. -- Bernama