KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kekurangan minat belian susulan sentimen pelabur terus berhati-hati dalam persekitaran tidak menentu disebabkan perkembangan politik negara.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.2400/2440 berbanding dolar AS daripada 4.2370/2380 semasa ditutup pada Selasa.

Seorang penganalisis memberitahu Bernama bahawa pelabur lebih memilih dolar AS yang selamat berikutan data jualan runcit, pengeluaran industri dan pelaburan bandar China yang rendah pada Julai selain COVID-19 yang menyebabkan gangguan di seluruh rantau.

Sementara itu, Bloomberg melaporkan krisis kepimpinan negara yang berterusan boleh menjadi permulaan kepada kemerosotan yang lebih mendalam jika mata wang gagal meningkat semula melebihi paras tertinggi 4.2105 berbanding dolar AS pada 5 Ogos, 2021.

"Mata wang itu, yang melonjak sebanyak 11 peratus antara Mac 2020 dan Januari 2021, telah berkurangan separuh daripada kenaikannya berikutan penularan COVID-19 yang semakin teruk.

"Momentum yang lemah boleh menyebabkan mata wang ke arah paras terendah 4.3457 pada Jun 2020," katanya.

Sementara itu, unit tempatan dibuka tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1133/1165 daripada 3.1182/1192 semasa ditutup pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.8718/8758 daripada 3.8768/8778 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.8253/8308 daripada 5.8462/8476 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9655/9701 daripada 4.9874/9885 semasa ditutup pada Selasa.

-- BERNAMA