KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila mata wang negara maju itu memperoleh sokongan belian lebih kukuh menjelang laporan data pekerjaan negaranya minggu ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan susut kepada 4.1745/1780 berbanding dolar AS daripada 4.1730/1760 ketika ditutup Isnin.

Penganalisis berkata dolar AS memperoleh asas pergerakan meningkat selepas pesanan baharu bagi barangan buatan negara itu meningkat pada Ogos, walaupun pertumbuhan ekonominya dilihat menurun pada suku ketiga ekoran kekurangan bahan mentah dan tenaga kerja.

"Sementara itu, di peringkat domestik, sektor ekonomi beransur-ansur pulih dengan indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Ogos 2021, masing-masing pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus bulan ke bulan," katanya kepada Bernama.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, terma perdagangan Malaysia meningkat 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 105.6 mata pada Ogos 2021.

Pada pembukaan dagangan, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding yen kepada 3.7632/7667 daripada 3.7510/7540 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0729/0759 daripada 3.0727/0751.

Ringgit turut turun berbanding pound Britain kepada 5.6744/6792 daripada 5.6674/6714 semasa penutupan Isnin serta menguncup berbanding euro kepada 4.8470/8511 daripada 4.8440/8475.

-- BERNAMA