KUALA LUMPUR: Nilai ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan pagi ini apabila mata wang AS itu meningkat selepas data menunjukkan ekonomi AS berkembang lebih pantas pada suku ketiga.

Pada 9.15 pagi, ringgit menyusut nilai kepada 4.6525/6570 berbanding dolar AS daripada 4.6495/6550 pada penutupan dagangan Rabu.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS dilaporkan berkembang pada kadar tahunan 5.2 peratus pada suku ketiga, meningkat daripada anggaran awal 4.9 peratus.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penurunan lebih ketara dalam hasil Perbendaharaan AS jangka pendek menunjukkan terdapatnya jangkaan bagi penurunan kadar faedah pada 2024.

"Semua ini sepatutnya memberi petanda baik kepada ringgit, terutamanya apabila ringgit semasa berbanding paras dolar AS telah menembusi paras sokongan sebelum ini iaitu RM4.6611.

"Paras sokongan seterusnya ialah pada RM4.5778," katanya kepada Bernama, sambil menambah kenyataan daripada pegawai Rizab Persekutuan mencadangkan Kadar Dana Persekutuan pada 5.50 peratus telah mencapai paras kemuncaknya.

Pada awal dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro pada 5.1080/1129 daripada 5.1014/1075 pada penutupan Rabu, turun berbanding pound Britain pada 5.9068/9125 daripada 5.8951/9021 dan rendah berbanding yen Jepun pada 3.1641/1676 daripada 3.1513/1553 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit bergerak bercampur-campur.

Nilai ringgit naik sedikit berbanding baht Thai kepada 13.3439/3630 daripada 13.3484/3722 dan lebih tinggi berbanding peso Filipina pada 8.38/8.40 daripada 8.39/8.41 semalam (Rabu).

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.4923/4962 daripada 3.4909/4953 dan lemah berbanding rupiah Indonesia pada 302.1/302.6 daripada 301.9/302.5 sebelumnya.

-- BERNAMA