KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS pagi ini walaupun data-data utama Amerika Syarikat yang akan diumumkan minggu ini dijangka bertambah baik.

Pada pukul 9 pagi, unit tempatan lebih tinggi pada 4.1630/1660 berbanding dolar AS daripada 4.1645/1665 ketika ditutup pada urus niaga Jumaat minggu lepas.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata antara data utama AS yang perlu dipantau ialah Jualan Runcit AS yang akan diumumkan pada Selasa.

"Sekiranya jualan runcit adalah lebih baik daripada jangkaan, ia akan mendorong melonjakkan dolar AS kerana data yang baik akan meningkatkan lagi jangkaan Kadar Dana Persekutuan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau menambah keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih lemah daripada jangkaan bermakna pendirian monetari akomodatif oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan kekal untuk beberapa ketika.

"Oleh itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh kekal stabil dalam tempoh terdekat walaupun terdapat ura-ura mengenai inflasi yang lebih tinggi di seluruh dunia," jelasnya.

Justeru, beliau percaya ringgit akan diniagakan dalam lingkungan RM4.16 hingga RM4.17 hari ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama kecuali untuk yen Jepun dengan unit tempatan meningkat kepada 3.6467/65014 daripada 3.6521/6550 pada Jumaat minggu lepas.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.5872/5912 daripada 5.5783/5810 sebelumnya, lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0789/0814 daripada 3.0757/0776 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7650/7684 daripada 4.7646/7669 pada Jumaat.

-- BERNAMA