Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: PBB gesa laluan selamat untuk kargo kemanusiaan melalui Selat Hormuz

Hormuz amid the US-Israeli conflict with Iran
Menurut PBB, apabila laluan di Selat Hormuz ditutup, kos akan melonjak dan bantuan yang dapat disalurkan badan itu akan berkurangan. - Gambar fail/Reuters

WASHINGTON: Ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menggesa agar kargo kemanusiaan dibenarkan melalui Selat Hormuz dengan selamat, sambil memberi amaran bahawa gangguan di laluan air utama itu boleh menjejaskan operasi bantuan global secara serius, lapor Anadolu Ajansi.

“Rantaian bekalan kemanusiaan adalah rapuh. Apabila laluan ditutup dan kos melonjak, bantuan yang dapat kami salurkan akan berkurangan – dan mereka yang paling memerlukannya adalah yang pertama kehilangan akses kepada bantuan itu,” kata Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Urusan Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher dalam satu kenyataan.

Advertisement

“Jadi mesej saya kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik ini serta semua yang mempunyai pengaruh ke atas mereka adalah jelas: kargo kemanusiaan mesti dibenarkan melalui Selat Hormuz dengan selamat,” tambahnya.

Fletcher memberi amaran bahawa kesan konflik AS-Israel dengan Iran melangkaui Asia Barat sehingga menjejaskan pasaran, laluan perkapalan serta harga makanan di seluruh dunia.

“Kesan terhadap usaha kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa amat besar. Jutaan orang berisiko,” katanya.

Harga bahan api melonjak, sekali gus meningkatkan kos perkapalan global, manakala gangguan terhadap penerbangan dan maritim telah memperlahankan pergerakan petugas serta barangan kemanusiaan, menyebabkan bekalan kritikal berisiko mengalami kelewatan sehingga “enam bulan,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video