KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama namun lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa dibuka hari ini dengan sentimen berhati-hati menjelang pengeluaran minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu ini, kata pakar ekonomi.

Pada 9 pagi, ringgit berkurangan kepada 4.7870/7930 berbanding dolar AS daripada 4.7850/7890 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun pasaran AS ditutup semalam berikutan cuti umum, sentimen pasaran dipercayai masih terjejas akibat Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS Jumaat lepas yang lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 0.9 peratus pada Januari berbanding anggaran konsensus 0.6 peratus.

IHPR yang lebih tinggi menandakan inflasi lebih tinggi yang boleh menyebabkan peningkatan kadar faedah.

Di dalam negara, Mohd Afzanizam berkata data mengenai eksport Malaysia yang dikeluarkan hari ini akan menjadi tumpuan dengan anggaran konsensus meramalkan penghantaran ke luar negara akan beralih kepada pertumbuhan 3.0 peratus pada Januari berbanding penyusutan 10 peratus pada bulan sebelumnya.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2023 yang lebih rendah daripada jangkaan semasa diumumkan Jumaat lepas menunjukkan ekonomi Malaysia mudah terkesan dengan pusingan permintaan luaran.

"Sehubungan itu, data eksport yang positif akan meningkatkan harapan terhadap prospek yang lebih baik kepada ekonomi Malaysia tahun ini," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjangkakan ringgit mengukuh berbanding dolar AS tahun ini susulan petunjuk daripada FOMC AS yang membayangkan bahawa kitaran kenaikan kadar faedahnya bakal berakhir tidak lama lagi.

Rizab Persekutuan telah menaikkannya kadar faedahnya sebanyak 11 kali sejak Mac 2022 kepada paras semasa 5.25-5.50 peratus ketika ini.

"Kenaikan kadar faedah AS kemungkinan telah mencapai tempoh penghujungnya, jadi kita menjangkakan tahun ini kita sepatutnya melihat kenaikan kadar faedah akan berakhir, dan sekiranya tidak ada sebarang peristiwa geopolitik yang besar, kita seharusnya melihat ringgit mengukuh sepanjang tahun," katanya," katanya dalam temu bual dengan Bernama pada Isnin.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama semasa dibuka hari ini.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1858/1900 daripada 3.1913/1942 semasa ditutup pada Isnin, naik berbanding pound Britain kepada 6.0254/0329 daripada 6.0358/0408 dan menokok berbanding euro kepada 5.1556/1621 daripada 5.1558/1601 sebelumnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2377/2590 berbanding 13.2806/2976 semasa ditutup pada Isnin, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5544/5591 daripada 3.5555/5587, namun rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 306.2/306.7 daripada 306.0/306.5 sebelum ini.

Mata wang tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.53/8.55 daripada 8.53/8.54 pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA