KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka didagangkan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menurun berbanding dolar US pada minggu depan selepas dolar US diunjurkan mendapat sokongan akibat ketidaktentuan ekonomi global, kata seorang penganalisis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan itu dijangka diniagakan antara 4.63 dan 4.65 pada minggu akan datang.

Katanya, tumpuan pelabur akan dialihkan kepada keputusan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan pada 7 Sept untuk mencernakan lagi prospek pasaran mata wang tempatan.

"Kami meramalkan BNM akan mengekalkan OPR stabil pada 3.00 peratus minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes menyatakan untuk ringgit memperbaiki kedudukannya, data ekonomi China perlu bertambah baik.

"Ringgit dan mata wang Asia kini sedang mengalami pergelutan antara kejatuhan pasaran hartanah China dan percubaan penggubal dasar untuk mengelak krisis kredit dan keyakinan," katanya lagi.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit adalah lebih rendah berbanding dolar US pada 4.6445/6485 daripada 4.6385/6430 yang dicatatkan pada minggu sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding pound British kepada 5.8878/8929 daripada 5.8385/8441 yang dicatatkan semasa Jumaat sebelumnya, jatuh berbanding euro kepada 5.0388/0432 daripada 5.0054/0103 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1939/1967 daripada 3.1939/1967.

Begitu juga, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang lain di Asean.

Unit tempatan itu menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.4386/4418 daripada 3.4202/4238 dan lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 304.6/305.1 daripada 303.2/303.7 .

Ia juga tidak bermaya berbanding peso Filipina kepada 8.21/8.22 daripada 8.20/8.21 dan lebih rendah berbanding baht Thailand pada 13.2677/2852 daripada 13.2121/2309.

-- BERNAMA