KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri minggu ini lebih kukuh berbanding dolar US selepas dirangsang oleh sentimen positif bahawa China akan terus menyokong ekonominya bersama-sama mata wang serantau lain, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7275/7325 berbanding dolar US daripada 4.7280/7350 yang dicatatkan semasa Rabu kelmarin.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama selain disokong komitmen China, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik daripada jangkaan pada suku akhir tahun lalu juga nampaknya memberi kesan positif kepada ringgit.

KDNK AS berkembang pada kadar tahunan 3.3 peratus pada suku keempat, berdasarkan pengumuman Biro Analisis Ekonomi AS (BEA).

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kerugian ringgit telah memulih apabila perhatian pasaran beralih kepada angka inflasi AS yang lebih lemah sebelum pelepasan indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS malam ini.

"Dagangan hari ini mencerminkan sentimen bercampur-campur memandangkan peniaga sedang mengemudi antara naratif yang bercanggah: data ekonomi AS yang teguh, yang mengurangkan jangkaan untuk pemotongan kadar jangka terdekat dan inflasi AS yang menyederhana, yang menyokong kes bagi pengurangan kadar.

"Ini telah mewujudkan kebuntuan dalam pasaran," kata Innes, sambil menambah faktor domestik telah menyokong ringgit termasuk harga minyak yang lebih tinggi dan permintaan yang stabil dalam pasaran saham tempatan, yang telah mengekalkan keuntungan melebihi paras 1,500 mata.

Sementara itu , ringgit diniagakan lebih mantap berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menambah nilai berbanding pound Britain kepada 6.0120/0183 daripada 6.0343/0433 dan menokok berbanding euro kepada 5.1279/1333 daripada 5.1540/1616.

Ia juga naik berbanding yen Jepun kepada 3.1988/2024 daripada 3.2043/2093 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu didagangkan bercampur-campur tetapi lebih baik berbanding mata wang Asean.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura pada 3.5267/5307 daripada 3.5331/5386 tetapi lebih rendah berbanding baht Thailand kepada 13.2679/2879 daripada 13.2493/2745 yang dicatatkan pada penutup Rabu.

Nota tempatan itu mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 298.7/299.1 daripada 300.9/301.4 tetapi tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.39/8.41 sebelum ini.

Pasaran ditutup pada Khamis (25 Jan) untuk perayaan Thaipusam.

-- BERNAMA