KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup pada paras terendah dalam tempoh hampir tiga bulan susulan situasi pengelakan risiko di tengah-tengah penurunan harga minyak.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.1970/2000, paras yang kali terakhir dilihat pada lewat Ogos, berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1850/1880 pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit telahpun berada dalam fasa terlebih jualan.

Beliau berkata penurunan minyak mentah Brent di tengah-tengah peningkatan kes baharu COVID-19 dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan di Eropah telah membawa kepada langkah pengelakan risiko.

"Pencalonan semula Jerome Powell sebagai pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat bagi tempoh empat tahun akan datang juga membayangkan kesinambungan dasar yang seterusnya dijangka dapat menghapuskan beberapa penyesuaian dasar monetari secara beransur-ansur.

"Ringgit dijangka kekal lemah dalam masa terdekat ini pada paras 4.19 hingga 4.20 berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Amerika Syarikat, Jepun dan India dikatakan merancang untuk mengeluarkan rizab minyak mentah bagi mengekalkan harga dalam jajaran yang ideal yang seterusnya memberi tekanan kepada pasaran.

Kedua-dua minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate masing-masing berlegar di sekitar paras US$78.93 dan US$75.70 setong.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.6147/6188 daripada paras penutup 5.6196/6236 pada Isnin dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6569/6598 daripada 3.6669/6698.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.0734/0758 dan susut berbanding euro kepada 4.7258/7292 daripada 4.7207/7241 sebelumnya.

-- BERNAMA