Skip to main content

Teknologi

NVIDIA lancar platform pusat data angkasa, perkenal modul Space‑1 Vera Rubin

NVIDIA Mengumumkan Platform Untuk Pusat Data Di Angkasa Lepas
Penggunaan pusat data di angkasa lepas ini dilihat sebagai langkah strategik industri untuk memanfaatkan kuasa solar tanpa had serta sistem penyejukan semula jadi tanpa memerlukan sumber air yang besar. -Foto Amanz

SAN JOSE: Gergasi teknologi NVIDIA hari ini mengumumkan pelancaran platform khusus untuk pusat data di angkasa lepas bagi menangani isu penggunaan sumber air dan tenaga yang tinggi di bumi, lapor Amanz.

Menerusi persidangan GTC yang berlangsung pagi tadi, syarikat itu memperkenalkan modul NVIDIA Space-1 Vera Rubin yang direka khas untuk operasi di orbit dengan menawarkan prestasi kecerdasan buatan (AI) sehingga 25 kali ganda lebih tinggi berbanding cip H100 sedia ada.

Advertisement

Penggunaan pusat data di angkasa lepas ini dilihat sebagai langkah strategik industri untuk memanfaatkan kuasa solar tanpa had serta sistem penyejukan semula jadi tanpa memerlukan sumber air yang besar.

Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, menjelaskan bahawa inovasi ini bukan sahaja tertumpu kepada pusat data, malah bakal digunakan untuk pemprosesan geospatial lanjutan serta operasi angkasa secara autonomi.

Modul Vera Rubin ini dijadualkan untuk digunakan oleh beberapa rakan industri utama termasuk Axiom Space, Planet, dan Starcloud bagi memperkukuh infrastruktur perkomputeran di luar atmosfera bumi.

Selain modul utama tersebut, NVIDIA turut menawarkan platform NVIDIA IGX Thor dan Jetson Orin yang kini ditala khusus untuk kegunaan di angkasa bagi menawarkan sistem inferens AI yang lebih cekap tenaga.

Platform berkenaan berupaya melakukan tugas pengesanan imej dan pemprosesan data menggunakan teknologi perkomputeran pinggiran secara langsung ketika berada di orbit.

Walaupun NVIDIA IGX Thor dan Jetson Orin sudah mula ditawarkan kepada pelanggan, tarikh rasmi pelancaran bagi modul NVIDIA Space-1 Vera Rubin akan diumumkan kemudian.

Perkembangan ini menandakan fasa baharu dalam evolusi teknologi hijau dan AI yang kini mula melangkaui sempadan planet bagi memenuhi tuntutan pemprosesan data global yang semakin meningkat.
 

Must Watch Video