KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, kekal dalam jajaran sempit apabila pasaran terus memantau rapat perkembangan di Asia Barat.
Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 3.9515/9555 berbanding dolar AS, daripada 3.9505/9545 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Advertisement
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit bergerak antara 3.9515 hingga 3.9583, dengan ketegangan geopolitik terus mempengaruhi sentimen.
Dolar AS sebelum itu meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh seminggu, dengan Indeks Dolar pulih daripada penurunan baru-baru ini kepada 98.47, manakala ringgit terus didagangkan dalam julat kecil.
“Ketidaktentuan berkaitan dengan rundingan damai antara AS dan Iran serta pembukaan semula Selat Hormuz, terus menjejaskan sentimen dalam kalangan pelabur.
“Harga minyak mentah WTI dan Brent masing-masing meningkat 7.10 peratus dan 6.02 peratus kepada US$89.80 dan US$95.82 setong,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, ringgit tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding pound British kepada 5.3412/3466 daripada 5.3454/3508 ketika ditutup pada Jumaat lepas, dan naik berbanding euro kepada 4.6489/6536 daripada 4.6588/6635.
Bagaimanapun, mata wang tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.4863/4890 daripada 2.4838/4865.
Ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara serantau.
Unit domestik turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1077/1111 daripada 3.1053/1086, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 230.1/230.5 daripada 229.8/230.1 pada Jumaat minggu lepas.
Ringgit hampir tidak berubah berbanding baht Thailand kepada 12.3127/3313 daripada 12.3084/3274, dan kekal stabil berbanding peso Filipina pada 6.58/6.60 berbanding 6.58/6.59.
-- BERNAMA