Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS menjelang laporan inflasi AS

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0840/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0855/0940 ketika ditutup semalam.
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis apabila peserta pasaran menunggu laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan lewat malam ini.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0840/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0855/0940 ketika ditutup semalam.
Hari ini, ringgit dibuka pada 4.0795/0915 iaitu paras tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata IHP AS bagi November dijangka meningkat kepada 3.1 peratus daripada 3.0 peratus pada September berdasarkan jangkaan konsensus.
"IHP teras dijangka kekal pada 3.0 peratus. Secara keseluruhan, kadar inflasi mungkin meningkat memandangkan kesan tarif import AS yang lebih tinggi mula dirasai.
"Oleh itu, keadaan ini boleh merumitkan pandangan pasaran terhadap Rizab Persekutuan AS berkenaan dengan keputusan kadar faedah tahun hadapan," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata kadar inflasi yang lebih tinggi bermakna pendirian dasar monetari mungkin kekal ketat, dan keadaan itu boleh menyokong dolar AS.
Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.09 peratus kepada 98.457 mata ketika peserta pasaran menunggu data IHP AS, katanya.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.4513/4567 daripada 5.4439/4553 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding euro kepada 4.7869/7915 daripada 4.7866/7965.
Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6188/6217 daripada 2.6267/6321.
Ringgit juga diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1620/1653 daripada 3.1614/1682 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9750/9935 daripada 12.9657/9989.
Ringgit lemah berbanding peso Filipina kepada 6.97/6.98 daripada 6.96/6.97, namun mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 244.2/244.5 daripada 244.7/245.3.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


