Skip to main content

Bisnes

Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama, serantau

61750923401_wangringgitgaji.jpg
Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 3.9505/9550 berbanding dolar AS, hampir tidak berubah daripada 3.9505/9545 ketika ditutup semalam. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama dan unit  serantau, namun tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur ekoran kenaikan harga minyak mentah.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 3.9505/9550 berbanding dolar AS, hampir tidak berubah daripada 3.9505/9545 ketika ditutup semalam.

Advertisement

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit didagangkan dalam jajaran kecil apabila harapan terhadap penyelesaian konflik AS-Iran semakin pudar, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak mentah.

Beliau berkata harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing meningkat 2.55 peratus dan 2.74 peratus kepada US$98.83 setong dan US$111.20 setong.

“Pelabur juga akan mengikuti rapat mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) selama dua hari mulai hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beberapa keputusan dasar penting juga akan dibuat minggu ini iaitu oleh Bank of Japan, Rizab Persekutuan AS, European Central Bank dan Bank of England.

Pada akhir dagangan, ringgit tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6189/6242 daripada 4.6387/6434 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4756/4785 daripada 2.4810/4837.

Unit domestik mengukuh berbanding pound British kepada 5.3292/3353 daripada 5.3525/3580.

Ringgit turut meningkat berbanding mata wang negara serantau.

Unit tempatan lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.0943/0983 daripada 3.1018/1052 ketika ditutup pada Isnin, dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.1494/1685 daripada 12.2129/2309.

Ringgit juga lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 229.1/229.4 daripada 229.5/229.8 semalam, serta naik peso Filipina kepada 6.44/6.46 daripada 6.50/6.51.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video