IPOH: Seorang lelaki tempatan ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah premis di Slim River bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Muallim Supt Khalid Mohamad berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira 11.20 malam di Rawang, Selangor.
"Polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 22 tahun yang mendakwa telah disamun oleh dua lelaki tidak dikenali dalam kejadian kira-kira 1.49 pagi pada 1 Julai lepas.
"Suspek yang bersenjatakan pisau merampas wang tunai, dua unit telefon bimbit dan barang kemas yang dipakai mangsa. Kerugian dianggarkan berjumlah RM4,800," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid berkata pihaknya turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata suspek direman enam hari hingga 19 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.
-- BERNAMA