Skip to main content

Malaysia

Speedy Tigers sedia berikan cabaran sengit kepada Jerman - Carolan

Tugas berat menanti ketua jurulatih hoki negara yang baharu, Brendon Carolan, dengan tempoh persediaan yang disifatkan singkat menuju ke tiga kejohanan utama tahun ini.
Carolan berkata, siri perlawanan di Afrika Selatan, diikuti kem latihan di Belgium memberikan persiapan amat bernilai kepada pasukan menjelang kejohanan dunia itu. - Gambar fail/Stadium ASTRO
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara Brendon Carolan percaya Malaysia berada pada tahap persediaan terbaik untuk memberi cabaran sengit kepada Jerman pada aksi pembukaan kempen Piala Dunia Hoki 2026 di Arena Hoki Belfius di Wavre, Belgium, esok.

Carolan berkata skuad Speedy Tigers menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak dua bulan lalu dan kini berada pada tahap lebih baik berbanding ketika beraksi pada saingan Piala Negara-Negara di Cape Town, Afrika Selatan, Jun lepas.

Beliau berkata siri perlawanan di Afrika Selatan, diikuti kem latihan di Belgium memberikan persiapan amat bernilai kepada pasukan menjelang kejohanan dunia itu.

“Kami telah membina pasukan ini untuk menghadapi kejohanan ini sejak dua bulan lalu. Siri di Afrika Selatan sangat baik untuk kami dan kami juga menjalani kem latihan yang bagus di Gent.

“Pemain menunjukkan prestasi yang baik dan saya rasa mereka benar-benar bersedia untuk memberi cabaran sengit kepada Jerman,” katanya dalam klip video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.

Malaysia yang menghuni ranking ke-14 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama tiga pencabar handalan, iaitu tuan rumah Belgium selaku pasukan nombor satu dunia, Jerman (5) dan Perancis (6), sekali gus menjadikan laluan Speedy Tigers ke suku akhir antara yang paling mencabar.

Jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu mengakui terdapat perbezaan dari segi ranking dunia antara Jerman dan Malaysia, namun percaya anak buahnya mampu memberikan saingan kompetitif.

Beliau turut mahu anak buahnya turun ke padang dengan penuh keyakinan dan rasa bangga ketika Malaysia memulakan cabaran di Piala Dunia.

Selepas perlawanan esok, skuad Speedy Tigers akan berdepan Perancis pada Isnin ini dan Belgium pada 20 Ogos ini.

Piala Dunia Hoki 2026 yang dihoskan bersama Belgium dan Belanda berlangsung dari 15 hingga 30 Ogos, dengan perlawanan diadakan di Wavre dan Amstelveen.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement