Ringgit melonjak kepada 4.10 berbanding dolar AS, tertinggi dalam tempoh empat tahun setengah

Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.1040/1105 berbanding dolar AS daripada 4.1155/1195 semasa ditutup pada Rabu. - Foto hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup dengan melonjak kepada paras 4.10 berbanding dolar AS pada Khamis, mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh empat tahun dan enam bulan selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah buat kali ketiga pada tahun ini, yang menjejaskan dolar AS.
Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.1040/1105 berbanding dolar AS daripada 4.1155/1195 semasa ditutup pada Rabu.
Mata wang tempatan mengatasi paras tertinggi sebelum ini yang dicatatkan pada 11 Jun 2021, apabila ia ditutup pada 4.1070 berbanding dolar AS.
Semalam, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS menurunkan kadar faedah kepada antara 3.5 dan 3.75 peratus, merupakan penurunan ketiga pada tahun ini daripada 4.25-4.50 peratus pada Disember tahun lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan terus mencatatkan prestasi yang baik berbanding dolar AS selepas mesyuarat FOMC berakhir semalam.
"Keputusan FOMC terkini tidak sebulat suara, dengan dua ahli mengundi untuk mengekalkan kadar faedah manakala seorang ahli memilih penurunan sebanyak 50 mata asas. Ini mencerminkan tahap ketidaktentuan dasar menjelang 2026.
"Berdasarkan unjuran terkini, kadar dana Fed dijangka menurun sebanyak 25 mata asas, masing-masing pada 2026 dan 2027," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama.
Ia merosot berbanding pound kepada 5.4879/4966 daripada 5.4781/4835 semasa ditutup pada Rabu, rendah berbanding euro kepada 4.8025/8101 daripada 4.7884/7930 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.6333/6375 daripada 2.6240/6267.
Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1711/1763 daripada 3.1748/1781 semasa ditutup pada Rabu dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 246.1/246.6 daripada 246.5/246.9 sebelum ini.
Ia turut meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9219/9505 daripada 12.9243/9422 dan mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.95/6.97 daripada 6.95/6.96 semalam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


