33 terbunuh dalam serangan bom ke atas hospital di Rakhine, Myanmar

Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh selepas pemerintah tentera mengebom sebuah hospital di negeri Rakhine, Myanmar pada Rabu. - Gambar fail/hiasan
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh selepas pemerintah tentera mengebom sebuah hospital di negeri Rakhine, Myanmar pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi memetik laporan The Irrawaddy pada Khamis.
Serangan itu, yang berlaku pada Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa, turut mencederakan 76 orang, termasuk 27 yang berada dalam keadaan kritikal.
Penduduk tempatan berkata sebuah jet tentera telah menjatuhkan dua bom seberat 500 paun (226 kilogram) ke atas hospital awam di daerah Mrauk-U.
Jawatankuasa Mewakili Pyidaungsu Hluttaw (CRPH), iaitu bekas ahli Parlimen yang mewakili parlimen Burma yang dipilih sebelum ini, mengecam serangan berkenaan dan berkata masa serangan itu "hanya menyerlahkan lagi jenayah lama yang dilakukan oleh pemerintah tentera."
"Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan oleh pemerintah tentera yang cuba meraih legitimasi melalui pilihan raya palsu. Tindakan ini hanya menyerlahkan lagi jenayah berpanjangan sejak rampasan kuasa tentera," tulis kumpulan itu di platform X.
Pertempuran etnik terus memburukkan krisis kemanusiaan di Myanmar ketika negara itu masih bergolak dalam konflik awam hampir empat tahun selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.
Rampasan kuasa 2021 telah menyingkirkan kerajaan dipilih yang diterajui parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi dan membawa negara itu bawah pemerintahan darurat lebih empat tahun.
Pada Julai, pihak tentera mengumumkan pemindahan kuasa secara nominal kepada sebuah pentadbiran interim yang diterajui awam menjelang pilihan raya yang dirancang pada Disember dan Januari, meskipun ketua tentera kekal sebagai presiden sementara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


