Menurut Pakar Ekonomi dan Ketua Penyelidikan RAM Ratings, Kristina Fong, kedudukan semasa ringgit hanya dipengaruhi sentimen bukan asas seperti kemungkinan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat.
Menurut Kristina, faktor asas seperti lebihan akaun semasa, inflasi yang sederhana serta prospek pertumbuhan mampan sepatutnya menyokong ringgit untuk tidak mencapai nilai RM4 berbanding dolar AS.
"Saya rasa prospek pertumbuhan masih baik untuk Malaysia bagi 2016, kadar inflasi masih sederhana dengan kadar lebih kurang sama tahun ini. Secara asas ia tidak nampak akan cecah angka RM4 (berbanding dolar AS)," katanya pada Majlis Pembentangan Unjuran Malaysia dan Ketidaktentuan ringgit di ibu negara hari ini.
Menurut Kristina, meskipun harga komoditi mencatakan kejatuhan namun pertumbuhan tahunan negara masih dijangka berada sekitar 5.0 peratus tahun ini disokong permintaan domestik.
Ringgit juga katanya tidak perlu ditambat kepada dolar AS seperti Krisis Kewangan Asia 1998 kerana ekonomi Malaysia kini lebih terbuka dan asas masih kukuh.
Ringgit diramal pada purata RM3.90 hingga akhir tahun
"Menjadi ekonomi terbuka (Malaysia) dengan pasaran kewangan terbuka, saya rasa cara terbaik adalah teruskan pemerhatian dan kajian dengan apa yang berlaku (persekitaran) dan selesaikan segala risiko yang mendatang.
"Secara asas Malaysia masih kukuh dan terus membina kemampanan berdasarkan asas yang kukuh itu untuk berdepan kejutan luar. Saya rasa itu pertahanan yang Bank Negara and Malaysia mampu lakukan dalam pelbagai ketidaktentuan kini," katanya.
Tambahnya, negara membangun termasuk Malaysia masih menanti petunjuk jelas pada bulan September ini sama ada Rizab Persekutuan AS akan meningkatkan kadar faedah.
Sekiranya ia berlaku, faktor tersebut tidak lagi menjadi faktor utama meskipun ketidaktentuan masih wujud termasuk kelemahan harga minyak dan komoditi.
Sementara itu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan ringgit akan pulih pada hujung tahun, selari dengan unjuran 2015 ke atas harga minyak mentah antara USD58-USD59 setong oleh Forum Ekonomi Dunia.
Pengarah Eksekutifnya, Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid berkata harga minyak mentah pada Julai mencatatkan USD48 setong, terjejas akibat kurangnya permintaan dan pengeluaran, dan terus menekan mata wang tempatan.