KUALA LUMPUR:Ringgit ditutup tinggi pada Isnin berbanding Dolar Amerika dalam dagangan pertama tahun baharu.

Ini sejajar dengan prestasi mata wang negara sedang pesat membangun Asia.

Menurut laporan Bernama yang memetik Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid, minat belian berterusan daripada minggu lepas berikutan keyakinan terhadap pemulihan pertumbuhan global dan pelancaran vaksin di seluruh dunia.

“Indeks Dolar AS (DXY) terus merosot kepada 89.548 mata (Isnin) manakala mata wang lain seperti Yen Jepun, Euro dan Dolar Australia meningkat,” katanya.

Pada 6 petang Isnin, Ringgit meningkat kepada 4.0040/4.0090 berbanding Dolar Amerika.

Afzanizam berkata penurunan Dolar Amerika dan peningkatan harga minyak mentah Brent ke paras 53 dollar setong menjadi penyokong utama kenaikan Ringgit.

“Paras sokongan semasa dikesan pada RM3.9939,” tambahnya lagi.

Beliau berkata keputusan OPEC Plus mengenai kuota pengeluaran minyak juga akan jadi tumpuan utama pelabur minggu ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali Dolar Singapura.