KUALA LUMPUR: Momentum pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) diteruskan pada sesi awal urus niaga Khamis yang juga hari ketiga berturut-turut susulan sentimen positif didorong oleh prospek gencatan senjata antara AS dan Iran.
Setakat 8 pagi hari ini, ringgit mengukuh kepada 3.9550/9760 berbanding dolar AS daripada paras 3.9620/9670 pada akhir urus niaga semalam.
Advertisement
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit diniagakan lebih stabil berbanding dolar AS ketika pasaran terus menunggu kemungkinan rundingan AS-Iran dapat menjadi kenyataan.
“Peserta pasaran bagaimanapun masih menunggu sama ada perang ini akan berakhir dalam masa terdekat ketika di peringkat global menyaksikan banyak negara bergelut dengan lonjakan harga bahan api,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, harga minyak mentah Brent berkurangan sebanyak 1.21 peratus pada US$103.23 setong manakala harga semasa emas naik 0.68 peratus kepada US$4,506 bagi setiap auns troy.
“Selain itu, ekuiti AS juga meningkat sedikit manakala Indeks Dolar AS (DXY) terus berada di bawah paras 100 mata,” katanya.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pasaran pertukaran mata wang asing diselubungi kebimbangan susulan spekulasi mengenai kemungkinan tindakan AS merampas Pulau Kharg untuk mengawal aliran minyak Iran.
“Kemungkinan itu ketara selepas Iran menolak cadangan gencatan senjata membabitkan 15 perkara yang dikemukakan oleh AS,” katanya.
Dalam pada itu ringgit juga diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain pada sesi awal hari ini.
Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.4813/4948 daripada 2.4935/4969 semalam, meningkat berbanding pound British kepada 5.2847/3127 daripada 5.3087/3154 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5728/5971 daripada 4.5963/6021 pada penutupan semalam.
Selain itu, ringgit juga menunjukkan aliran mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Unit tempatan itu naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0869/1038 daripada 3.0965/1007, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.0645/1375 daripada 12.1336/1557, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 233.8/235.2 daripada 234.2/234.6 serta naik berbanding peso Filipina kepada 6.58/6.62 daripada 6.59/6.60 sebelum ini.
-- BERNAMA