ISTANBUL: Penjaga gol FC Andorra Jesus Owono, dikenakan penggantungan selama 12 perlawanan oleh jawatankuasa tatatertib Persekutuan Bola Sepak Sepanyol pada Jumaat susulan insiden perlanggaran yang membawa kepada kematian penyerang Tenerife, Jesus de Miguel, lapor Anadolu Ajansi.
Owono dilayangkan kad merah ketika perlawanan divisyen dua pada 2 Nov selepas bergegas keluar ke tengah padang dalam cubaan menampan bola tinggi sebelum bertembung dengan de Miguel.
De Miguel, 30, mengalami serangan jantung berikutan perlanggaran itu sebelum dikejarkan ke hospital, namun meninggal dunia pada keesokan harinya.
“Penilaian terhadap tindakan yang dipertimbangkan dalam prosiding ini perlulah berdasarkan fakta yang dinyatakan secara jelas dalam laporan pengadil, yang menyebut bahawa pemain berkenaan dilayangkan kad merah kerana ‘menendang dada pemain lawan dengan kuat menggunakan kaki dan kekuatan berlebihan ketika bola masih dalam permainan’,” menurut kenyataan jawatankuasa itu.
“Kesudahan tragis insiden berkenaan yang mengakibatkan kematian Jesus de Miguel Alameda merupakan perkara yang diketahui umum,” katanya.
“Berdasarkan bentuk tindakan yang dinyatakan serta keadaan ketika kejadian, hukuman maksimum, iaitu penggantungan 12 perlawanan, adalah wajar.”
Pemain antarabangsa Equatorial Guinea itu menyifatkan tempoh selepas kematian de Miguel sebagai “hari-hari paling sukar dalam hidup saya”.
“Saya sukar mencari kata-kata dan amat sukar bagi saya untuk menerima segala yang berlaku,” kata Owono dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh kelabnya minggu lalu.
“Saya amat berdukacita atas kehilangan Jesus. Ingatan saya sentiasa bersamanya, keluarganya dan semua insan yang menyayanginya.”
-- BERNAMA-ANADOLU