KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis berusaha memperluas peluang melanjutkan pengajian tinggi di Algeria kepada anak negeri itu, khususnya dalam bidang Usuluddin, Syariah, Bahasa Arab dan Tamadun Islam.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, inisiatif itu susulan lawatan delegasi kerajaan negeri ke Algeria pada 8 hingga 16 Nov lepas, bagi meneroka peluang pengajian bermula sesi akademik 2027/2028.
“Hasil rundingan turut memberikan kefahaman lebih jelas mengenai dua laluan pengajian di Algeria, iaitu melalui biasiswa Kerajaan Algeria dan program Study in Algeria yang membolehkan pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian secara pembiayaan sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Nazim berkata, sepanjang lawatan itu, delegasi berkenaan turut mengadakan pertemuan dengan kepimpinan University of Algiers 1, Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Algeria serta Emir Abdelkader University of Islamic Sciences di Constantine.
Beliau berkata, delegasi berkenaan turut meneliti pelaksanaan program persediaan Bahasa Arab atau Tamhidi sebagai asas memperkukuh penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar sebelum mengikuti pengajian di universiti.
Sementara itu, Mohd Nazim berkata, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan mempertimbangkan 10 peluang pendidikan kepada pelajar Algeria untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
“Selain penawaran peluang pendidikan, UniSIRAJ turut menyatakan hasrat membangunkan kerjasama akademik dengan kedua-dua universiti yang dilawati melalui pertukaran sarjana dan pensyarah, program pengajian berkembar (twinning programmes), penyelidikan bersama serta penerokaan geran penyelidikan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, susulan lawatan itu, JAIPs bersama dengan MAIPs, UniSIRAJ dan agensi berkaitan akan menyelaras tindakan lanjut termasuk permohonan rasmi biasiswa, penelitian syarat kemasukan, pengiktirafan kelayakan akademik serta cadangan kerjasama institusi.
-- BERNAMA