SIBU: Sarawak mahu melahirkan rakyat yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, malah mampu mencipta dan menghasilkan inovasi sendiri seiring dengan usaha negeri itu mempercepat peralihan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan yang dipacu kecerdasan buatan (AI).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan keupayaan teknologi tempatan amat penting bagi memastikan rakyat Sarawak bukan sahaja menikmati manfaat kemajuan digital, tetapi turut memainkan peranan utama dalam membentuk industri masa depan.
Beliau berkata, usaha merealisasikan aspirasi itu memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya jurutera, penyelidik, saintis data, pembangun perisian dan pakar keselamatan siber yang berupaya membangunkan serta mengurus teknologi baharu.
“Kita tidak mahu sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mahu menjadi pencipta teknologi,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Sarawak (UTS) ke-11 di sini hari ini.
Abang Johari berkata, peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap model pembangunan ekonomi Sarawak mencerminkan potensi negeri itu untuk muncul sebagai hab teknologi termaju serantau, termasuk dalam bidang AI dan pengkomputeran kuantum.
Beliau merujuk kepada pertemuannya dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Masayoshi Son bulan lepas, yang menyatakan minat mendalam terhadap model pembangunan ekonomi Sarawak, khususnya komitmen kerajaan negeri menyediakan pendidikan tinggi percuma.
Abang Johari berkata, Sarawak memperkenalkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) tahun ini bagi menghapuskan kekangan kewangan yang boleh menghalang anak Sarawak berpotensi, terutama dari kawasan luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pelaburan jangka panjang kerajaan negeri dalam pembangunan modal insan bagi menyokong transformasi ekonomi Sarawak, selain memastikan peluang pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat negeri itu.
-- BERNAMA