Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS pada sesi awal

Mohd Afzanizam berkata kebimbangan terhadap kebebasan Rizab Persekutuan AS dilihat memberi kesan negatif kepada dolar AS apabila DXY susut 0.24 peratus kepada 98.894 mata.
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah pada Selasa di tengah-tengah kebimbangan ketara pasaran terhadap kebebasan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang terus ditekan berkaitan pendirian dasar monetarinya.
Ringkasan AI
- Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada Selasa disebabkan ketidakpastian pasaran terhadap dasar monetari Fed AS.
- Kenaikan ringgit dipengaruhi oleh kelemahan dolar AS yang turun kepada 4.0580/0685 berbanding 4.0605/0660 semalam.
- Kebimbangan tentang kebebasan Fed AS oleh Presiden Trump turut memberi impak positif kepada ringgit yang diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Berikutan itu, katanya, ringgit telah meningkat sebanyak 0.24 peratus berbanding dolar AS semalam.
"Serangan berterusan pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap pihak Fed telah menjejaskan persepsi peniaga dan pelabur dalam menilai hala tuju dolar AS. Punca utama ketegangan Rumah Putih dan Fed adalah keengganan bank pusat itu melonggarkan dasar monetarinya.
"Perkembangan ini sebaliknya dilihat memberi manfaat kepada ringgit dalam jangka pendek yang dijangka diniagakan dalam julat RM4.05 hingga RM4.06 berbanding dolar AS hari ini," katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5677/5747 daripada 2.5717/5754 sebelum ini, meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.7345/7467 daripada 4.7435/7499 namun susut berbanding pound Britain kepada 5.4641/4782 daripada 5.4630/4704.
RInggit juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain namun mendatar berbanding peso Filipina pada 6.85/6.87 berbanding penutupan semalam pada 6.85/6.86.
Berbanding rupiah Indonesia, ringgit naik kepada 240.7/241.4 daripada 240.9/241.3, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1558/1644 daripada 3.1567/1613 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9852/13.0267 daripada 12.9961/13.0195 sebelum ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


