Ringgit terus mengukuh, dibuka cecah RM4.10 berbanding dolar AS

Mohd Afzanizam berkata ringgit terus kekal berdaya tahan walaupun data AS menunjukkan tenaga kerja negara maju itu kekal stabil. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan meneruskan momentum pengukuhan sekitar RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan keadaan fiskal lebih baik yang mendorong sentimen pelabur terhadap mata wang berkenaan.
Ringkasan AI
- Ringgit memulakan urus niaga hari ini dengan mengukuhkan kedudukan berbanding dolar AS sekitar RM4.10 disebabkan oleh keadaan fiskal yang lebih baik, memberi keyakinan kepada pelabur terhadap mata wang tersebut.
- Data terkini menunjukkan ringgit terus berdaya tahan walaupun kestabilan tenaga kerja AS, dengan turunnya tuntutan awal pengangguran dan pemberhentian pekerja, yang dijangka akan memberi kesan kepada kadar faedah Rizab Persekutuan AS.
- Selain itu, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang utama lain seperti pound Britain, euro, yen Jepun, dolar Singapura, rupiah Indonesia, baht Thailand, dan peso Filipina, menunjukkan prestasi positif dalam perdagangan awal hari ini.
"Data tuntutan awal pengangguran di AS turun kepada 191,000 pada minggu lepas berbanding anggaran konsensus sebanyak 219,000 manakala pemberhentian pekerja juga berkurangan kepada 71,300 pada November daripada 153,000 pada bulan sebelumnya.
"Walaupun data itu mencecah paras terendah dalam tiga tahun, pasaran masih menjangkakan pihak Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.
Ringgit meningkat ke paras 4.1115/1165 berbanding dolar AS semalam daripada 4.1200/1235 pada hari sebelumnya dan merupakan paras tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan, sekali gus mengatasi paras rekod pada 16 Jun 2021 apabila ditutup pada 4.1155.
Dalam pada itu, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang utama lain pada sesi awal hari ini.
Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4711/4831 daripada 5.4868/4935 semalam, naik berbanding euro kepada 4.7816/7921 daripada 4.8014/8075 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6470/6529 daripada 2.6555/6589.
Unit tempatan itu juga diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1674/1746 daripada 3.1747/1788, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 246.5/247.2 daripada 246.8/247.3, naik berbanding baht Thailand kepada 12.8116/8501 daripada 12.8304/8520 semalam dan pada 6.96/6.98 berbanding peso Filipina.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


