KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum meningkat apabila dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan sokongan belian yang berterusan terhadap mata wang tempatan.

Pada 9 pagi, ringgit menokok kepada 4.7310/7360 berbanding dolar AS daripada 4.7335/7400 semasa ditutup pada Khamis.

Peniaga berkata, ringgit meneruskan kenaikan berikutan sentimen positif apabila Rizab Persekutuan (Fed) AS meyakinkan pelabur mengenai prospek pengurangan kadar faedah pada tahun ini.

Beliau berkata keputusan Fed untuk mengekalkan pendiriannya kepada tiga pengurangan kadar tahun ini telah membantu merangsang sentimen pasaran.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Swiss National Bank mengurangkan kadar dasarnya sebanyak 25 mata asas kepada 1.50 peratus semalam untuk memerangi inflasi.

Malah, beliau berkata Bank of England dilihat cenderung menurunkan kadar faedah selepas mengekalkan kadar faedah yang stabil pada 5.25 peratus, sambil menjelaskan ia "bergerak pada hala tuju yang sesuai" bagi langkah pengurangan itu.

"Oleh itu, mata wang serantau termasuk ringgit, mungkin mengukuh berbanding dolar AS dan kami yakin mata wang tempatan akan kekal stabil pada sekitar RM4.71 hingga RM4.72," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.1402/1457 daripada 5.1444/1477 pada Khamis dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.9951/6.0015 daripada 6.0202/0241, tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.1219/1255 daripada 3.1200/1222 semalam.

Bagaimanapun ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain.

Ia kukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0151/0343 berbanding 13.0712/0850 semasa ditutup pada Khamis, tetapi susut berbanding peso Filipina kepada 8.44/8.45 daripada 8.41/8.42 semalam.

Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 301.9/302.3 daripada 300.8/301.1 dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.5219/5259 daripada 3.5205/5230.

-- BERNAMA