KUALA LUMPUR: Ringgit turun ke paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tengah hari, apabila mod pengelakan risiko menguasai sentimen pasaran disebabkan keraguan terhadap gencatan senjata di Iran selepas Presiden AS Donald Trump memberi petunjuk bahawa beliau tidak akan komited terhadap perjanjian dengan Tehran.
“Berikutan pengumuman itu, Indeks Dolar AS (DXY) dilihat meningkat 0.28 peratus kepada 99.873 mata, kekal stabil disebabkan permintaan aset selamat, manakala indeks ekuiti penanda aras AS susut lebih daripada satu peratus,” kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Advertisement
Unit tempatan dibuka pada 3.9855 berbanding dolar AS.
Pada 12.30 tengah hari, ringgit pada 4.0075/0105 berbanding dolar AS, menandakan kedudukan terendah dalam tempoh dua bulan apabila ia berada pada 4.0045, pada 23 Januari lepas.
Xinhua turut melaporkan bahawa pasaran kewangan terus dipengaruhi secara ketara oleh permusuhan melibatkan AS, Israel dan Iran.
Teheran dan Tel Aviv melancarkan serangan ketenteraan pada Khamis dalam persekitaran amaran antarabangsa yang semakin meningkat mengenai kos ekonomi konflik tersebut yang amat besar.
Bagaimanapun, pasaran ekuiti berjaya mengurangkan sebahagian kecil daripada kerugian besar pada sesi pagi tadi, susulan laporan bahawa Iran telah memberikan maklum balas rasmi terhadap cadangan gencatan senjata AS, menurut laporan itu.
Ringgit ditutup rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Mata wang tempatan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.5114/5135 daripada 2.4951/5077 ketika pada pembukaan Jumaat, rendah berbanding pound Britain kepada 5.3460/3500 daripada 5.3143/3403 sebelumnya dan menguncup berbanding euro kepada 4.6243/6277 daripada 4.5969/6194 sebelum itu.
Berbanding mata wang ASEAN pula, ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1177/1203 daripada 3.0994/1148 pada pembukaan, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1942/2085 daripada 12.0868/1566 pagi ini, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 236.5/236.7 daripada 235.7/237.0 sebelumnya dan turun berbanding peso Filipina kepada 6.64/6.65 daripada 6.61/6.65 sebelum itu.
-- BERNAMA