KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah US$116.3 bilion pada 30 Ogos, 2021 daripada US$111.3 bilion pada 13 Ogos, 2021.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.3 bulan import tertangguh dan 1.3 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

"Paras rizab yang lebih tinggi ini mencerminkan terutamanya peruntukan tambahan Hak Pengeluaran Khas (SDR) kepada Malaysia berjumlah SDR3.5 bilion, bersamaan dengan US$5.0 bilion, oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Peruntukan SDR ini akan menyediakan mudah tunai tambahan kepada sistem kewangan global, memperkukuh rizab, meningkatkan keyakinan, serta memperkuat daya tahan ekonomi dunia," katanya.

BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$103.4 bilion), kedudukan rizab IMF (US$1.4 bilion), SDR (US$6.1 bilion), emas (US$2.2 bilion), dan aset rizab lain (US$3.2 bilion).

Aset-aset berkenaan merangkumi emas, tukaran asing dan rizab lain termasuk SDR yang berjumlah sehingga RM483.60 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.12 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM841.62 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM21.77 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion), dan aset-aset lain (RM15.31 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM185.35 bilion), mata wang dalam edaran (RM143.84 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM143.44 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM13.43 bilion), lain-lain deposit (RM8.73 bilion), kertas Bank Negara (RM7.87 bilion), peruntukan SDR (RM28.84 bilion), dan lain-lain liabiliti (RM5.2 bilion).

-- BERNAMA