KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan reformasi ke atas sistem kesihatan negara dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi memastikan perkhidmatan kesihatan negara menjadi lebih mampan dan responsif.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, rombakan itu perlu dilakukan sejajar dengan perubahan persekitaran dan keperluan rakyat Malaysia masa kini khususnya dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19.

Tambahnya lagi, antara inisiatif penting yang harus dilihat adalah aspek sistem pembiayaan kesihatan nasional sedia ada.

"Salah satunya adalah mewujudkan sistem pembiayaan kesihatan nasional, dimana ia perlu kerana kita lihat pengeluaran bayaran terus daripada pesakit-pesakit kita apabila mereka mendapatkan rawatan melebihi daripada 40 peratus daripada keseluruhan pembelanjaan perkhidmatan kesihatan.

"Itu adalah satu angka yang besar dan kalau kita tidak tangani masalah ini, kita akan menghadapi masalah untuk memastikan bahawa konsep  Universal Health Coverage, liputan sejagat yang cuba kita laksanakan sejak diwujudkan tahun 2008, tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan meneliti kembali program-program kesihatan di dalam  RMK-10 serta RMK-11 yang tidak dapat dilaksanakan sebelum ini.

RMK-12 | Rombak sistem kesihatan awam


Sementara itu, Dr Syed Mohamed Aljunid berkata elemen teknologi turut harus diperhalusi kerana ianya bagi memudahkan dan melancarkan pengurusan data sektor kesihatan.

"Ini harus kita lakukan supaya segala tindakan yang kita lakukan untuk mengawal pandemik ini dapat kita lakukan berdasarkan kepada bukti yang datang daripada negara kita sendiri supaya tindakan dari kita yang lebih tepat.

"Ini perlu kita perkuatkan dan saya mengharapkan supaya elemen ini diperjelaskan bagaimanakah prosedur data sharing tersebut? Siapa yang bertanggungjawab untuk memberikan kelulusan? dan komitmen daripada kerajaan, transparent dalam mengendalikan data-data berkaitan dengan penyakit ini COVID-19 dan juga penyakit-penyakit yang lain," katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat, Isnin ini.