KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengumumkan sebanyak 1,200 klinik daif di seluruh negara akan dinaik taraf untuk tempoh 2023 hingga 2025 bagi menjamin mutu perkhidmatan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menyegerakan projek naik taraf fasa pertama di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, projek itu melibatkan anggaran kos sebanyak RM500 juta bagi menangani masalah kesesakan yang telah lama berlanjutan.

Tambah Perdana Menteri, isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan turut menjadi keutamaan kerajaan.

Jelasnya, kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menjamin usaha bersepadu antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil dalam menangani isu tersebut.

“Bagi menghadapi cabaran dan dampak negara menua, Kerajaan sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan.

“Saya mengajak semua pihak untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan menyesuaikan perancangan supaya kebijakan ini kelak dapat dilaksanakan secara holistik demi pembangunan negara yang mampan.

“Kerajaan juga mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan Pusat Geriatrik baharu bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada warga emas.

Tambahnya, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 sedang diperhalusi dan dijangka akan dikuatkuasakan pada tahun 2025.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.