Skip to main content

Bisnes

RS-2: Selangor rangka 'Indeks Wajar' ukur kos sara hidup, selaras agihan bantuan mengikut daerah

TB_Amirudin Shari_AWANI.jpg
Amirudin berkata, langkah tersebut diumumkan bagi beralih daripada kebergantungan kepada garis kemiskinan konvensional semata-mata kepada ukuran realiti kos sara hidup sebenar. - Foto Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bakal memperkenalkan 'Indeks Wajar' atau kerangka ekonomi bermaruah bagi menilai semula tahap pendapatan munasabah rakyat, khususnya masyarakat bandar di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut diumumkan bagi beralih daripada kebergantungan kepada garis kemiskinan konvensional semata-mata kepada ukuran realiti kos sara hidup sebenar.

Jelas beliau, dapatan serta kajian berkaitan indeks tersebut sudah tersedia dan akan dijadikan asas untuk menyusun semula pengagihan sokongan serta bantuan kerajaan negeri mengikut keperluan spesifik setiap daerah.

"Realitinya kita masih penggerak utama ekonomi dengan pencapaian KDNK yang baik dan keadaan kemiskinan yang rendah. Tetapi kita mencabar diri kita bukan hanya melihat kepada taraf kemiskinan.

"Kita cuba mewujudkan satu indeks iaitu indeks wajar ataupun ekonomi bermaruah ... untuk kita kemukakan berapa pendapatan yang wajar bagi satu-satu kehidupan di bandar di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan sempena Majlis Perasmian Rancangan Selangor Kedua (RS-2, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan pendekatan baharu ini memastikan dasar kebajikan negeri lebih bersasar kerana Selangor mempunyai kerencaman ekonomi dan demografi yang tidak lagi sesuai dinilai menggunakan satu petunjuk tunggal.

"Data atau kajiannya telah ada dan di situ nantilah kita akan agihkan semula sokongan dan bantuan kita mengikut daerah. Tidak ada lagi satu petunjuk satu saja untuk sebuah negeri sebab negeri kita rencam, permintaannya tinggi dan mempunyai kompleksiti tersendiri," tambah beliau.

Menerusi pelaksanaan RS-2, beliau berkata, kerajaan negeri turut menetapkan fokus kepada 98 projek berimpak tinggi yang dinilai sebagai praktikal dengan menyepadukan perancangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta bagi memacu pembangunan sosioekonomi negeri.

Must Watch Video

Advertisement