Saham Brahim's Holdings Bhd meningkat pada sesi dagangan pagi hari ini selepas anak syarikatnya, Brahim's Airline Catering Sdn Bhd (BAC), menandatangani perjanjian lanjutan kedua (EA ke-2) dengan Malaysian Airline System Bhd (MAS) bagi memudahkan dokumentasi Perjanjian Baharu Katering (NCA).

Brahim's menguasai 70 peratus kepentingan dalam BAC. Pada 11.51 pagi, saham Brahim's meningkat 2.5 sen kepada 95.5 sen, dengan 1.12 juta saham bertukar tangan.

Minggu lepas, kedua-dua pihak melanjutkan tarikh akhir NCA daripada 30 April kepada 10 Mei, selepas menjalin perjanjian penyelesaian pada 26 Feb untuk menyelesaikan beberapa pertikaian tertentu serta menjalankan runding NCA bagi menggantikan perjanjian katering Brahim's sedia ada dengan MAS.

BAC menjalin kontrak 25 tahun dengan MAS, yang berakhir pada 2028, bagi menyediakan hidangan dan perkhidmatan berkaitan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

BAC kini memberi perkhidmatan kepada 37 syarikat penerbangan, dengan MAS merupakan pelanggan terbesarnya.

Perjanjian ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan MAS bernilai RM6 bilion, yang diumumkan oleh Khazanah Nasional Bhd, Ogos tahun lepas.